Saturday, August 15, 2009

PUJIAN KE ATAS MUHAMMAD SAW: ANTARA KEPALSUAN DAN KEBENARAN


Resam manusia memuji sesuatu yang disukai dan mengeji yang dibenci. Begitu juga manusia membenarkan sesuatu yang disokong dan menidakkan yang dibangkang. Keadaan manusia sebegini seolah-olah benar dan diterima umum sebagai sesuatu yang fitrah. Muncullah manusia yang menilai sesuatu berdasarkan perasaan dan akal semata-mata. Jika disukai maka ia menjadi benar dan sebaliknya. Seseorang yang disayangi sentiasa dipandang elok walaupun dipenuhi dengan kekurangan. Manakala seseorang yang elok dipandang hina dan serba kekurangan sekalipun memiliki pelbagai keistimewaan jika dia dimusuhi.


Para Nabi semasa menjalankan dakwah dinilai pada zamannya oleh dua golongan iaitu penyokong yang beriman dengan mereka dan musuh yang sentiasa mencari jalan melemahkannya. Firaun dipandang dan dinilai baik oleh pengampunya sekalipun dia seorang pemerintah yang zalim. Nabi Musa a.s. pula dinilai sebagai gila dan ahli sihir kerana baginda tidak disukai. Firman Allah “Maka Firaun berpaling engkar dengan bersandarkan kekuasaannya sambil berkata “(Musa itu) adalah seorang ahli sihir atau gila” (al-Zariyat, ayat 39). Sebaliknya pula Nabi Isa a.s. dan ‘Uzair dianggap anak Tuhan oleh penyokong mereka, firman Allah “ Dan orang-orang Yahudi berkata “Uzair ialah anak Allah”, dan orang-orang Nasrani berkata: Al-Masih ialah anak Allah”... (al-Taubah ayat 30).


Nabi Muhammad juga dikeji oleh penentang-penentangnya semenjak zaman Jahiliyah sehingga ke zaman kini. Orientalis yang memusuhi Islam sentiasa membuat dakwaan untuk menjatuhkan kedudukan Nabi Muhammad pada pandangan manusia seperti mendakwa Nabi Muhammad hanya seorang posmen yang tidak mengetahui apa yang disampaikannya. Bagi orang yang beriman dengan Nabi Muhammad pula terdapat dua golongan yang memuji baginda. Satu kumpulan yang terlalu memuji sehingga di luar batasan yang hakikat dan satu golongan lagi yang sentiasa berlandaskan hujah dan bukti.


Bukan sesuatu yang asing bagi masyarakat di Nusantara cerita-cerita tentang kehebatan Nabi Muhammad semenjak baginda dilahirkan lagi. Cerita ini terus menjadi bahan ceramah, forum dan sebagainya untuk menunjukkan kehebatan Nabi Muhammad. Maka cerita kelahiran Nabi Muhammad dengan pelbagai kesaktian olah dewa-dewa kayangan disampaikan. Muhammad lahir dengan kesaktian dengan berbidankan Maryam dan Asiah, lahir tanpa darah, telah berkhatan dan boleh bercakap semasa masih kecil. Masyarakat Melayu yang memang gemar kisah-kisah kesaktian umpama kelahiran Devaraja menerimanya sebagai satu kebenaran tanpa diperiksa asal usul cerita.


Jika benar Muhamad saw boleh bercakap ketika masih kecil (9 bulan) pastilah baginda menyebut dalam hadis-hadisnya, antaranya yang menceritakan keperluan 4 orang bayi yang boleh bercakap ketika kecil dan beberapa hadis yang lain lagi. Sekalipun terdapat riwayat daripada al-Waqidi yang menyebut Nabi Muhammad boleh bercakap ketika masih bayi namun al-Waqidi telah disepati oleh ulama hadis ditolak riwayatnya dan tidak boleh dijadikan hujah. Bahkan menurut Iman al-Syafei dan Imam Ahmad, al-Waqidi adalah seorang pendusta. Kata Rasulullah s.a.w., ketika malam aku diisra’kan padanya, telah datang bau-bauan yang menyenangkan, lantas aku berkata, wahai Jibril “bau apakah yang menyenangkan ini”?. Jibril menjawab, “ini adalah bau perempuan tukang sikat anak perempuan Firaun dan anak-anaknya”. Nabi bertanya lagi “apa hal keadaanya”?. Jibril menjawab “pada suatu hari ketika dia sedang menyikat rambut anak perempuan Firaun, telah terjatuh sikat dari tangannya, lantas dia berkata “dengan nama Allah”. Maka berkata anak perempuan Firaun “ayahku”, tukang sikat menjawab “tidak, dan tetapi Tuhanku dan Tuhan bapamu adalah Allah”. Anak perempuan Firaun berkata “aku akan adukan hal ini kepada Firaun”. Jawabnya “silakan”. Lantas diberitahu kepada Firaun dan dipanggil perempuan tersebut mengadap. Maka Firaun bertanya “wahai si fulan adakah bagi kamu tuhan selain aku?” Jawabnya “ia, Tuhan aku dan Tuhan kamu”. Firaun meminta dibawakan seekor lembu dari tembaga yang dididihkan dan diperintahkan agar perempuan dan anak-anak itu dicampakkan ke dalamnya. Perempuan tersebut membuat satu permintaan “aku ada satu hajat kepada kamu” Firaun menjawab “apa hajat kamu?”. Perempuan tersebut menjawab “aku berkeinginan agar tulang-tulang ku dan anak-anakku dikumpulkan dalam satu baju dan ditanam”. Firaun menjawab “perkara tersebut menjadi tanggungjawab kami”. Jibrail berkata “Firaun memerintahkan anak-anak perempuan tersebut dihumban ke dalam api yang menjulang di hadapan perempuan tersebut seorang demi seorang sehingga tinggal yang terakhir bayi yang masih menyusu yang seolah-olah ibunya mahu melewatkan ajalnya. Bayi tersebut berkata “wahai ibuku, campaklah daku, sesungguhnya azab dunia lebih ringan daripada azab akhirat” lantas ibunya mencampakkannya ke dalam api yang menjulang. Berkata Said bin Jubair : berkata Ibn ‘Abbas : telah berkata-kata empat orang bayi iaitu Isa anak lelaki Maryam, Sahabat Juraij, Saksi Nabi Yusuf dan Anak Lelaki Perempuan Tukang Sikat Anak Perempuan Firaun. (hadis Sahih, riwayat Imam Ahmad, no: 2822)


Perihal Nabi Isa berkata-kata telah disebut dalam surah Maryam: “ Maka Maryam segera menunjukkan kepada anaknya. Mereka berkata (dengan hairan): “Bagaimana kami boleh berkata-kata dengan seorang yang masih kanak-kanak dalam buaian?”. Ia menjawab: “Sesungguhnya aku ini hamba Allah: Ia telah memberikan kepadaku Kitab (Injil) dan Ia telah menjadikan daku seorang Nabi. (surah Maryam ayat 29-30). Kisah Saksi Nabi Yusuf berkata-kata pula disebut oleh Allah dalam surah Yusuf: Yusuf pula berkata: “Dialah yang memujukku berkehendakkan diriku”. (Suaminya tercengang mendengarnya) dan seorang dari keluarga perempuan itu (yang ada bersama-samanya) tampil memberikan pendapatnya dengan berkata: “Jika baju Yusuf koyak dari depan maka benarlah tuduhan perempuan itu, dan menjadilah Yusuf dari orang-orang yang berdusta”. Dan jika bajunya koyak dari belakang, maka dustalah perempuan itu, dan Yusuf adalah dari orang-orang yang benar”. (Surah Yusuf ayat 26-27).


Kisah juraij perlu dipaparkan di sini kerana ia mempunyai pengajar yang amat berguna buat semua pelajar dan pembaca. Ibn Hajr telah menghuraikan kisah Juraij dalam Kitab Fath al-Bari sebagaimana berikut. Dalam hadis Abi Salamah, Abi Rafi’ dan beberapa hadis yang lain lagi menyebut bahawa Juraij adalah seorang peniaga dari Bani Israil yang kurang amanah dengan kadang-kadang dikurangkan barangan dan kadang-kadang ditambah pula. Beliau berusaha untuk mencari peniagaan lain yang lebih menguntungkannya. Lantas beliau membina biara (tempat tinggi untuk beribadat) untuk beribadat. Bahawa pada suatu hari ibunya datang menziarahinya dan memanggilnya. Disebutkan bahawa ibunya datang sebanyak tiga kali dan pada setiap kali kedatangannya Juraij sedang bersembahyang sunat. Ketika namanya diseru oleh ibunya, Juraij berfikir tentang siapa yang lebih utama sama ada menyahut seruan ibunya atau meneruskan solat sunat sehingga selesai. Maka Juraij memilih untuk meneruskan sembahyangnya sehingga selesai. Lantas ibunya berkata “tidakkan mati kamu Juraij sehingga kelihatan wajah penzina wanita di mukamu”. Hal ibadah Juraij memang terkenal dalam kalangan Bani Israil sehingga ada usaha untuk menguji beliau. Pada suatu ketika telah datang seorang wanita untuk menggodanya tetapi telah ditolak oleh Juraij. Namun terdapat seorang gembala kambing yang telah menerima godaan wanita tersebut dan mereka melakukan zina sehingga dia mengandung dan melahirkan seorang budak lelaki. Apabila disoal siasat, wanita tersebut memberitahu itu adalah hasil perbuatan Juraij. Juraij dicela dan dipanggil untuk dihukumi. Lalu raja berkata “binasa kamu Juraij, kami melihatkamu sebaik-baik manusia tetapi perbuatan kamu telah menyebabkan perempuan ini mengandung, bawa dan hukum dia dengan disalib”. Lalu Juraij mendatangi bayi yang sedang menyusu dengan ibunya dan bertanya “siapakah bapa kamu”? Bayi terlebut berkata “bapaku gembala kambing” (Ibn Hajr, Fath al-Bari, j.7, ms. 2035-2039)


Berdasarkan kisah yang dipaparkan oleh al-Quran dan hadis sahih menunjukkan bayi-bayi yang boleh bercakap ketika kecil bukan secara berterusan tetapi sebagai satu respon untuk memberitahu perkara yang sebenar untuk menyelamatkan orang yang berimam. Kisah Juraij, Maryam serta Nabi Isa a.s. dan Nabi Yusuf semuanya menjurus kepada perkara tersebut.


Satu lagi kisah yang cukup popular dalam kalangan umat Islam di Nusantara ialah kisah Nur Muhammad yang diyakini sebagai asal semua kejadian makhluk di dunia. Kisah ini tersiar dalam kitab-kitab Melayu Jawi dan sesetengah kitab Arab. Kisah ini menyebut bahawa semua perkara yang dicipta adalah berasal dari Nur Muhammad dan nur ini berasal dari Nur Ilahi dan semua makhluk dicipta kerana Muhammad. Hal keadaan Nabi Adam yang dicipta dari tanah itu hanyalah asal yang bersifat sandaran sahaja namun kejadian sebenarnya (hakikat) adalah dari Nur Muhammad. Jika diteliti, hadis-hadis berkaitan dengan Nur Muhammad bukanlah sahih untuk dijadikan hujah sebagaimana disebut dalam Kasyf al-Khafa oleh al-Ajaluni. Tambahan pula ini berkaitan dengan akidah yang memerlukan dalil yang qati untuk disabitkannya. Kisah Nur Muhammad ini jika dibandingkan dengan penjelasan al-Quran dan hadis sahih amat bertentangan kerana Allah telah menyebut asal kejadian beberapa makhluknya dengan jelas. Begitu juga hadis sahih menjelaskan asal kejadian beberapa makhluk seperti Adam dari tanah dan Jin dari api dan malaikat dari cahaya. Nabi Muhammad sendiri sebagaimana dijelaskan dalam ayat surah al-Kahf menjelaskan dia adalah manusia biasa. Untuk menolak penjelasan al-Quran tersebut perlu satu dalil yang sama taraf dengan al-Quran. Jika tidak kenyataan al-Quran dari segi zahirnya hendaklah digunakan.


Cerita sebegini tidak diteliti tetapi diterima dengan senang hati seolah-olah itu telah mengangkat martabat Nabi Muhammad untuk dijulang. Pada hakikatnya Nabi Muhammad tidak memerlukan pujian manusia yang banyak dipengaruhi oleh emosi dan akal bahkan syaitan dalam membuat penilaian tetapi Muhammad mulia kerana kehebatan amalan dan jiwanya. Baginda telah dipuji oleh Allah dalam al-Quran “Dan Kami telah angkat sebutanmu Muhammad” (surah al-Syarh, ayat 4) Contoh lain pujian Allah kepada Nabi Muhammad ialah “Dan sesungguhnya engkau mempunyai akhlak yang sangat-sangat mulia” (surah al-Qalam ayat 4)


Dalam al-Quran, Allah telah menberitahu hal siapakah Nabi Muhammad. Lihat surah al-Kahf: “Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya aku hanyalah seorang manusia seperti kamu, diwahikan kepadaku bahawa Tuhan kamu hanyalah Tuhan Yang Satu: oleh itu, sesiapa yang percaya dan berharap akan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah ia mengerjakan amal yang salih dan janganlah ia mempersekutukan sesiapapun dalam ibadahnya kepada Tuhannya”.


Al-Quran membahagikan dua konsep yang perlu diyakini oleh manusia. Pertama konsep ketuhanan yang hanya dimilki oleh Allah dan tidak ada sebarang perkongsian dengan yang lainnya. Satu lagi konsep kemanusiaan yang ada pada manusia. Semua manusia adalah sama. Bagitu juga para Nabi dan Rasul adalah manusia biasa yang memiliki sifat sebagaimana manusia yang lain. Keistimemawan mereka ialah kenabian yang menerima wahyu dari Allah. Sebagai contoh Nabi Musa a.s. memiliki tongkat yang sentiasa dibawa bersamanya. Tongkat Nabi Musa tidak mempunyai apa-apa keistimewaan bahkan Nabi Musa menggunakannya sebagaimana kegunaan harian. Apabila ditanya oleh Allah beliau menjawab: Musa menjawab “ini ialah tongkatku, aku bertekan atasnya semasa berjalan, dan aku memukul dengannya daun-daun kayu supaya gugur kepada kambing-kambingku, dan ada lagi lain-lain keperluanku pada tongkat itu” (surah Taha ayat 18) Kalau tongkat Nabi Musa mempunyai kesaktian pasti digunakan oleh Nabi Musa untuk tujuan-tujuan tertentu terutama ketika menghadapi musuhnya. Dalam al-Quran, berlaku dua peristiwa Nabi Musa menggunakan tongkatnya untuk menentang musuhnya Islam. Pertama ketika berlawan dengan ahli sihir Firaun: Allah berfirman: “campakkanlah tongkatmu itu wahai Musa”. Lalu ia mencampakkannya, maka tiba-tiba tongkat itu menjadi ular yang bergerak menjalar. (surah Taha ayat 19-20). Kedua, ketika diburu oleh tentera Firaun dan mereka tersekat oleh laut di hadapan mereka Nabi Musa hanya berserah kepada Allah sehingga Allah mewahyukan kepadanya agar diketuk laut dengan tongkatnya di hadapannya dan akan terbuka jalan yang kering. Firman Allah: Dan demi sesungguhnya! Kami telah mewahikan kepada Musa: “hendaklah engkau membawa keluar hamba-hambaku (kaummu) keluar mengembara pada waktu malam, kemudian pukullah air laut dengan tongkatmu, untuk mengadakan jalan yang kering bagi mereka di laut itu: janganlah engkau menaruh bimbang daripada ditangkap oleh musuh, dan janganlah pula engkau takut tenggelam”. (surah Taha ayat 77) Jika tongkat tersebut mempunyai sakti pasti Nabi Musa lebih arif untuk menggunakannya. Tongkat Nabi Musa hanya sebatang kayu yang tidak mempunyai apa-apa sakti melainkan dengan perintah Allah ia menjadi mukjizat hanya pada ketika tersebut pada waktu lain ia kembali seperti biasa. Amat malang apabila ada orang Islam yang membeli kayu yang didakwa sejenis dengan tongkat Nabi Musa. Kalau benarpun, tidak ada gunanya kerana tongkat yang sebenarpun tiada apa-apa kuasa ghaib.


Kisah al-Quran ini amat bertentangan dengan kisah-kisah di alam Melayu seperti keris Taming Sari yang dikatakan boleh menjadikan pemiliknya kebal. Adakah mungkin keris yang tidak boleh menjaga diri sendiri boleh pula menjaga orang lain sehingga menjadi kebal?. Pemikiran khurafat ini perlulah disingkirkan dari minda umat Islam. Hal ini sama keadaan ketika orang Islam berjuang menentang penjajahan Belanda di Sumatera Barat. Ilmu kebal dan tangkal amat laris ketika itu dan orang Islam berlumba-lumba untuk memilikinya. Namun amat menyedihkan kerana mayat-mayat orang Islam yang mati terkena peluru askar Belanda dipenuhi dengan tangkal-tangkal. Ini yang dikatakan oleh Hamka, sepatutnya mereka mati syahid menentang penjajah namun apa yang ditemui di tubuh-tubuh mereka dipenuhi dengan tangkal yang membawa syirik kepada Allah.


Bahkan Nabi Muhammad melarang umatnya memuji beliau melebihi perkara yang sebenarnya. Sandanya: Janganlah kamu memuji aku sebagaimana al-Nasara memuji Ibn Maryam (Isa a.s.), Sesungguhnya aku adalah hamba-Nya, maka katakanlah hamba Allah dan Rasul-Nya. (al-Bukhari, no. hadis 3445) Larangan memuji dalam hadis di atas ialah pujian palsu yang direka-reka atau ditambah-tambah terhadap Rasulullah. Hal ini telah berlaku ke atas Nabi Isa yang dipuji melebihi yang ditetapkan oleh Allah sehingga dia dianggap sebagai anak Tuhan dan sebagainya.


Tentang keistimewaan Nabi Muhammad telah dijelaskan oleh bagainda dalam hadisnya: “ Aku adalah orang yang paling mengetahui urusan agama dan yang paling bertakwa kepada Allah” (al-Bukhari) Semua pujian Allah dan Rasul terhadap dirinya didasarkan kepada dua perkara. Pertama, amalan yang dilakukan seperti ibadah dan jihad ke jalan Allah. Kedua, keperibadian yang unggul seperti keikhlasan dan sangat bermurah hati. Perkara beginilah yang sewajarnya dikaji oleh umat Islam untuk disampaikan kepada khalayak dan diamalkan untuk kembali menjadi muslim dan dihormati.


Penilai tentang Nabi Muhammad hendak berdasarkan sumber yang berautoriti sahaja. Dalam Islam, semua perkara mesti dirujuk kepada al-Quran sebagai sumber ilmu yang mutlak dan benar. Semua perkhabaran al-Quran adalah benar dan tepat. Sumber seterusnya adalah hadis yang telah dikumpulkan oleh ulama hadis semenjak zaman Rasulullah saw lagi. Sumber ini perlu diambil yang sahih sebagai pengisbatan sesuatu perkara. Penilaian terhadap periwayat hadis amat diambil berat oleh ulama hadis terutama selepas berlaku peristiwa fitnah yang membawa kepada bencana dalam agama. Bermula dari sini semua riwayat perlu diteliti terutama dari golongan Syiah yang amat memusuhi para Sahabat dan terlalu memuji Ahli Bait. Segala sumber hendak dibandingkan dengan kenyataan kedua-duanya untuk dinilai kewajarannya.


Tulisan:


Ustaz Khairuddin bin Said ,Jabatan Pendidikan Islam dan Moral,IPGMKTAA


back

0 comments:

Post a Comment

....:**Herba Penawar Al-Wahida**:....

kepada sesiapa yang berminat dengan produk kami
dan berhasrat untuk memasarkannya atau ingin memasarkan produk anda di tempat kami atau ingin mengetahui dengan lebih lanjut
sila hubungi/sms:
Shafiq 013-9261565 / Izuddin 013-3529854 / Syukri 014-8041148/0145302405

  ©Template by bukhoryboyz.